Sunday, November 15, 2015





Tugasan Blog SXW 502
Kenapa penting untuk belajar?
Noor Husna Mohd Shafie
Calon Sarjana Sains Kemasyarakatan (Pengurusan Pembangunan Islam)
No. Matrik: P-SM0166/14




Kenapa penting untuk belajar?


Umumnya, masyarakat di Malaysia seringkali memulakan aktiviti pembelajaran anak-anak mereka secara rasmi bermula semasa usia lima tahun iaitu dengan menghantar anak-anak mereka ke tadika. Begitulah proses seterusnya sehingga anak mereka berusia tujuh tahun dan melangkah ke alam persekolahan sehingga tamat sekolah menengah. Selepas fasa tersebut, bermula pula fasa persediaan sebelum memasuki universiti bagi mendapatkan segulung ijazah. Seterusnya, ada pula yang menyambung pengajian hingga ke peringkat yang lebih tinggi iaitu pada peringkat sarjana. Selanjutnya, ada juga yang melanjutkan pengajian mereka dalam mendapatkan pendidikan yang paling tinggi dalam terma sistem pembelajaran iaitu doktor falsafah. Dalam melalui fasa-fasa tersebut, pastinya perkara yang sering menjadi persoalan kepada masyarakat adalah persoalan seperti apakah keperluan untuk belajar? Kenapa penting untuk belajar? Mengapa perlu berhempas pulas untuk belajar daripada kecil hingga sekarang?

Jawapan yang dianggap cliché seringkali dinyatakan iaitu belajar adalah untuk berjaya. Dalam erti kata lain, berjaya untuk mendapatkan pekerjaan yang bagus dan seterusnya dapat memenuhi impian serta kehendak hati bagi mendapatkan sesuatu yang sudah sekian lama diimpikan. Perkara-perkara inilah yang ditanamkan di dalam benak dan pemikiran masyarakat sejak daripada zaman dahulu hingga kini. Bukankah belajar juga boleh dijadikan sebagai suatu perkara yang mampu menolong manusia mendapatkan pahala dan menjadi tiket ke syurga serta dapat membantu mereka di akhirat kelak? Dalam satu hadis yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah bahawa Rasulullah SAW bersabda:

''Apabila salah seorang manusia meninggal dunia, maka terputuslah segala amalan kecuali tiga perkara. Sedekah, ilmu yang bermanfaat dan anak yang soleh''  (Riwayat Muslim, 3084).
                                                                          
Menurut Al-Ghazzaliy (t.t:8-10), ilmu mampu menjadi bekalan ke akhirat dan menjadi salah satu cara untuk mendampingi Allah SWT dengan lebih dekat. Nabih Amin Faris (1962:3) juga turut sama menyatakan perkara yang sama bahawa adalah sangat penting bagi menuntut ilmu kerana ia akan menjadi bekalan di akhirat kelak. Bagi Al-Ghazzaliy (t.t), darjah yang paling tinggi bagi manusia adalah dengan mencapai kebahagiaan akhirat yang abadi dan sesuatu paling mulia untuk mencapai kebahagiaan adalah melalui ilmu dan amal. Tidak dapat dinafikan bahawa keperluan menuntut ilmu mampu menjadi sebagai suatu pendorong dan pembakar semangat untuk seseorang insan itu berjaya dalam kehidupan mereka. Namun, cukupkah kehidupan insan dengan hanya berjaya mendapatkan pekerjaan yang bagus? Seterusya berupaya menjalani kehidupan yang selesa dan mampu memiliki perkara-perkara yang diinginkan?

Di samping berjaya di duniawi, perlunya setiap insan mengembalikan niat mereka bahawa belajar adalah untuk mendapatkan ilmu dan bertujuan untuk mendapatkan keredaan Allah SWT. Tidak salah mengejar impian untuk memperoleh kejayaan dan kesenangan di dunia. Namun, yang perlu menjadi tunjang dan kekuatan utama dalam menuntut ilmu ini adalah ia perlu berpaksikan kepada Allah SWT. Barulah kejayaan yang dikecapi dapat dipandu oleh iman dan taqwa kepada Allah SWT. Secara tidak langsung juga, kejayaan yang diperolehi dapat dijadikan manfaat dalam memperjuangkan Islam. Islam menjanjikan bahawa orang yang menuntut ilmu kerana Allah SWT mendapat ganjaran daripada-Nya seperti mendapat pahala, membantu mereka keluar daripada kesulitan bahkan membuka ruang untuk mendapatkan rezeki. Seperti firman Allah SWT dalam ayat berikut:

''Wahai orang yang beriman! Apabila kamu dikatakan kepadamu; "Berilah kelapangan di majlis-majlis", maka lapangkanlah, nescaya Allah akan memberi kelapangan untukmu. Dan apabila dikatakan; "Berdirilah kamu", maka berdirilah, nescaya Allah akan mengangkat (darjat) orang yang beriman di antaramu dan orang yang diberi ilmu pengetahuan beberapa darjat. Dan Allah Maha Mengetahui akan apa yang kamu kerjakan''  (al-Mujadalah, 58:11).
                                                                                                  
Dalam konteks masyarakat kini, pemikiran mereka mengenai belajar hanya untuk berjaya sahaja perlu dikikis sedikit demi sedikit agar setiap insan itu menyedari bahawa ilmu yang dipelajari bukanlah hanya untuk duniawi sahaja malah untuk akhirat kelak. Selain itu, dalam proses menuntut ilmu setiap insan akan menghadapi dugaan dan cabarannya yang tersendiri. Kadang-kala, masalah seperti sukar memahami dan mendalami ilmu-ilmu yang dipelajari juga turut dialami oleh setiap insan. Persoalannya mengapakah perkara ini boleh terjadi?

Hijab dalam menuntut ilmu

Antara perkara yang menyebabkan seseorang insan itu sukar menerima dan memahami ilmu pengetahuan adalah disebabkan dirinya terhijab daripada mendapat ilmu. Mengapa diri seseorang itu boleh terhijab daripada mendapat ilmu? Perkara ini perlu disemak semula dalam setiap diri insan kerana dikhuatiri mereka telah melakukan kemungkaran terhadap Allah SWT. Hal ini kerana ilmu itu cahaya dan ia tidak akan dapat masuk ke dalam hati sekiranya hati tersebut kotor. Maka, setiap insan itu perlu mengelakkan diri daripada melakukan perkara-perkara mungkar bagi menjaga kesucian hati mereka. Sepertimana daripada Abu Hurairah, Rasulullah SAW bersabda seperti berikut:

''Seorang hamba apabila melakukan suatu kesalahan, maka dititikkan dalam hatinya satu titik hitam. Apabila ia meninggalkannya dan meminta ampun serta bertaubat, hatinya dibersihkan. Apabila ia kembali (berbuat maksiat), maka ditambahkan titik hitam hingga menutupi hatinya. Itulah yang diistilahkan sebagai 'ar-Raan' yang Allah berfirman (ertinya) 'Sekali-kali tidak (demikian), sebenarnya apa yang selalu mereka usahakan itu menutupi hati mereka''  (Riwayat Ibnu Majah, 4244).
                                                                    
Selain itu, antara perkara yang mampu membuatkan seseorang itu terhijab daripada mendapat ilmu adalah disebabkan oleh hubungan dengan habl min al-nas iaitu hubungan sesama insan atau manusia. Perbincangan mengenai hijab dalam menuntut ilmu ini hanya berfokuskan kepada satu faktor sahaja iaitu faktor hubungan dengan ibu bapa. Dalam perbincangan ini, setiap insan perlu memelihara hubungannya dengan ibu bapa mereka. Allah SWT telah berfirman dalam surah berikut:

''Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; ibunya telah mengandungnya dengan menanggung kelemahan demi kelemahan (dari awal mengandung hingga akhir menyusunya), dan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa dua tahun; (dengan yang demikian) bersyukurlah kepadaKu dan kepada kedua ibu bapamu; dan (ingatlah), kepada Akulah jua tempat kembali (untuk menerima balasan)'' (Luqman, 31:14).
                                                                                                             
Ibu bapa telah membesarkan kita dengan penuh kasih sayang. Jadi, apakah pula alasan kita untuk tidak menyayangi dan mengasihi mereka dengan sesungguh hati? Dengan kasih sayang daripada merekalah yang menjadi keberkatan dan kemudahan kepada seseorang insan itu dalam menuntut ilmu pengetahuan. Bahkan, dengan usaha keras mereka jugalah, seseorang individu itu dapat meneruskan perjuangannya dalam menuntut ilmu. Tidak kurang juga ada di antara mereka yang sanggup bergolok bergadai demi memastikan anak-anak mereka mampu menimba ilmu pengetahuan. Betapa besarnya nilai perlu dibayar dalam sistem pendidikan kini untuk mendapatkan sesuatu ilmu bermanfaat yang mampu membawa kepada kebahagian duniawi dan ukhrawi.

Namun, alangkah malang bagi mereka yang tidak menghormati dan tidak menyayangi ibu bapa kerana di situ bermulanya satu punca dalam hilangnya keberkatan dalam mendapatkan restu bagi menuntut ilmu. Dengan sikap seseorang yang menderhaka kepada ibu dan bapanya, seseorang insan itu telah melakukan satu dosa besar dan turut mendatangkan kemurkaan daripada Allah SWT. Antara kesalahan yang sering dilakukan kepada ibu bapa adalah tidak berbakti kepada mereka dan meninggikan suara terhadap mereka. Hal ini telah dinyatakan dalam al-Qur’an oleh Allah SWT dalam surah al-Isra' seperti berikut:

''Dan Tuhanmu telah memerintahkan supaya kamu jangan menyembah selain Dia dan hendaklah kamu berbuat baik kepada ibu bapamu dengan sebaik-baiknya. Jika salah seorang di antara keduanya atau kedua-keduanya sampai berusia lanjut dalam pemeliharaanmu, maka sekali-kali janganlah kamu mengatakan kepada keduanya perkataan 'ah', dan janganlah kamu membentak mereka dan ucapkanlah kepada mereka perkataan yang mulia''  (al-Isra', 17:23).
                                                                                                          
Oleh sebab itu, menjaga hubungan dengan ibu dan bapa sangat penting dalam proses seseorang insan menuntut ilmu kerana di situ adanya keberkatan yang tidak terzahir melalui pancaindera misalnya seseorang itu dapat memahami, menghafal, mendalami dan mengamalkan ilmu dengan baik dan mudah.

Melalui perbincangan di atas, tidak dapat disangkal lagi bahawa menuntut ilmu adalah suatu yang amat penting dan sangat dituntut dalam Islam. Dengan menuntut ilmu kehidupan menjadi lebih baik bahkan dapat menjadi bekalan di akhirat kelak. Namun, dalam proses menuntut ilmu, perkara-perkara yang dilarang oleh Allah SWT misalnya menderhakan kepada ibu bapa perlu dielakkan bagi memastikan seseorang itu tidak terhijab daripada mendapat ilmu tersebut.

Rujukan
Al-Qur'an
Al-Ghazzaliy (t.t). Siri Al-Imam Al-Ghazzali (4) Ilmu-ilmu Dalam Islam terj. Yusoff Zaky Yaacob.                  Kelantan: Syarikat Dian Sdn Bhd.
Nabih Amin Faris (1962). The Book Of Knowledge. New Delhi: Islamic Book Service.