Tugasan Blog SXW 502
Kenapa penting untuk
belajar?
Noor Husna Mohd
Shafie
Calon Sarjana Sains
Kemasyarakatan (Pengurusan Pembangunan Islam)
No. Matrik:
P-SM0166/14
Kenapa penting untuk
belajar?
Umumnya, masyarakat
di Malaysia seringkali memulakan aktiviti pembelajaran anak-anak
mereka secara rasmi bermula semasa usia lima tahun iaitu dengan
menghantar anak-anak mereka ke tadika. Begitulah proses seterusnya
sehingga anak mereka berusia tujuh tahun dan melangkah ke alam
persekolahan sehingga tamat sekolah menengah. Selepas fasa tersebut,
bermula pula fasa persediaan sebelum memasuki universiti bagi
mendapatkan segulung ijazah. Seterusnya, ada pula yang menyambung
pengajian hingga ke peringkat yang lebih tinggi iaitu pada peringkat
sarjana. Selanjutnya, ada juga yang melanjutkan pengajian mereka
dalam mendapatkan pendidikan yang paling tinggi dalam terma sistem
pembelajaran iaitu doktor falsafah. Dalam melalui fasa-fasa tersebut,
pastinya perkara yang sering menjadi persoalan kepada masyarakat
adalah persoalan seperti apakah keperluan untuk belajar? Kenapa
penting untuk belajar? Mengapa perlu berhempas pulas untuk belajar
daripada kecil hingga sekarang?
Jawapan yang dianggap cliché seringkali dinyatakan iaitu belajar adalah untuk berjaya. Dalam erti kata lain, berjaya untuk mendapatkan pekerjaan yang bagus dan seterusnya dapat memenuhi impian serta kehendak hati bagi mendapatkan sesuatu yang sudah sekian lama diimpikan. Perkara-perkara inilah yang ditanamkan di dalam benak dan pemikiran masyarakat sejak daripada zaman dahulu hingga kini. Bukankah belajar juga boleh dijadikan sebagai suatu perkara yang mampu menolong manusia mendapatkan pahala dan menjadi tiket ke syurga serta dapat membantu mereka di akhirat kelak? Dalam satu hadis yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah bahawa Rasulullah SAW bersabda:
''Apabila salah
seorang manusia meninggal dunia, maka terputuslah segala amalan
kecuali tiga perkara. Sedekah, ilmu yang bermanfaat dan anak yang
soleh'' (Riwayat Muslim, 3084).
Menurut Al-Ghazzaliy
(t.t:8-10), ilmu mampu menjadi bekalan ke akhirat dan menjadi salah
satu cara untuk mendampingi Allah SWT dengan lebih dekat. Nabih Amin
Faris (1962:3) juga turut sama menyatakan perkara yang sama bahawa
adalah sangat penting bagi menuntut ilmu kerana ia akan menjadi
bekalan di akhirat kelak. Bagi Al-Ghazzaliy (t.t), darjah yang paling
tinggi bagi manusia adalah dengan mencapai kebahagiaan akhirat yang
abadi dan sesuatu paling mulia untuk mencapai kebahagiaan adalah
melalui ilmu dan amal. Tidak dapat dinafikan bahawa keperluan
menuntut ilmu mampu menjadi sebagai suatu pendorong dan pembakar
semangat untuk seseorang insan itu berjaya dalam kehidupan mereka.
Namun, cukupkah kehidupan insan dengan hanya berjaya mendapatkan
pekerjaan yang bagus? Seterusya berupaya menjalani kehidupan yang
selesa dan mampu memiliki perkara-perkara yang diinginkan?
Di samping berjaya di duniawi, perlunya setiap insan mengembalikan niat mereka bahawa belajar adalah untuk mendapatkan ilmu dan bertujuan untuk mendapatkan keredaan Allah SWT. Tidak salah mengejar impian untuk memperoleh kejayaan dan kesenangan di dunia. Namun, yang perlu menjadi tunjang dan kekuatan utama dalam menuntut ilmu ini adalah ia perlu berpaksikan kepada Allah SWT. Barulah kejayaan yang dikecapi dapat dipandu oleh iman dan taqwa kepada Allah SWT. Secara tidak langsung juga, kejayaan yang diperolehi dapat dijadikan manfaat dalam memperjuangkan Islam. Islam menjanjikan bahawa orang yang menuntut ilmu kerana Allah SWT mendapat ganjaran daripada-Nya seperti mendapat pahala, membantu mereka keluar daripada kesulitan bahkan membuka ruang untuk mendapatkan rezeki. Seperti firman Allah SWT dalam ayat berikut:
''Wahai
orang yang beriman! Apabila kamu dikatakan kepadamu; "Berilah
kelapangan di majlis-majlis", maka lapangkanlah, nescaya Allah
akan memberi kelapangan untukmu. Dan apabila dikatakan; "Berdirilah
kamu", maka berdirilah, nescaya Allah akan mengangkat (darjat)
orang yang beriman di antaramu dan orang yang diberi ilmu pengetahuan
beberapa darjat.
Dan Allah Maha Mengetahui akan apa yang kamu kerjakan'' (al-Mujadalah, 58:11).
Dalam konteks
masyarakat kini, pemikiran mereka mengenai belajar hanya untuk
berjaya sahaja perlu dikikis sedikit demi sedikit agar setiap insan
itu menyedari bahawa ilmu yang dipelajari bukanlah hanya untuk
duniawi sahaja malah untuk akhirat kelak. Selain itu, dalam proses
menuntut ilmu setiap insan akan menghadapi dugaan dan cabarannya yang
tersendiri. Kadang-kala, masalah seperti sukar memahami dan mendalami
ilmu-ilmu yang dipelajari juga turut dialami oleh setiap insan.
Persoalannya mengapakah perkara ini boleh terjadi?
Hijab dalam menuntut
ilmu
Antara perkara yang
menyebabkan seseorang insan itu sukar menerima dan memahami ilmu
pengetahuan adalah disebabkan dirinya terhijab daripada mendapat
ilmu. Mengapa diri seseorang itu boleh terhijab daripada mendapat
ilmu? Perkara ini perlu disemak semula dalam setiap diri insan kerana
dikhuatiri mereka telah melakukan kemungkaran terhadap Allah SWT. Hal
ini kerana ilmu itu cahaya dan ia tidak akan dapat masuk ke dalam
hati sekiranya hati tersebut kotor. Maka, setiap insan itu perlu
mengelakkan diri daripada melakukan perkara-perkara mungkar bagi
menjaga kesucian hati mereka. Sepertimana daripada Abu Hurairah,
Rasulullah SAW bersabda seperti berikut:
''Seorang hamba
apabila melakukan suatu kesalahan, maka dititikkan dalam hatinya satu
titik hitam. Apabila ia meninggalkannya dan meminta ampun serta
bertaubat, hatinya dibersihkan. Apabila ia kembali (berbuat maksiat),
maka ditambahkan titik hitam hingga menutupi hatinya. Itulah yang
diistilahkan sebagai 'ar-Raan' yang Allah berfirman (ertinya)
'Sekali-kali tidak (demikian), sebenarnya apa yang selalu mereka
usahakan itu menutupi hati mereka'' (Riwayat Ibnu Majah, 4244).
Selain itu, antara
perkara yang mampu membuatkan seseorang itu terhijab daripada
mendapat ilmu adalah disebabkan oleh hubungan dengan habl min
al-nas iaitu hubungan sesama insan atau manusia. Perbincangan
mengenai hijab dalam menuntut ilmu ini hanya berfokuskan kepada satu
faktor sahaja iaitu faktor hubungan dengan ibu bapa. Dalam
perbincangan ini, setiap insan perlu memelihara hubungannya dengan
ibu bapa mereka. Allah SWT telah berfirman dalam surah berikut:
''Dan Kami wajibkan
manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; ibunya telah
mengandungnya dengan menanggung kelemahan demi kelemahan (dari awal
mengandung hingga akhir menyusunya), dan tempoh menceraikan susunya
ialah dalam masa dua tahun; (dengan yang demikian) bersyukurlah
kepadaKu dan kepada kedua ibu bapamu; dan (ingatlah), kepada Akulah
jua tempat kembali (untuk menerima balasan)'' (Luqman, 31:14).
Ibu bapa telah
membesarkan kita dengan penuh kasih sayang. Jadi, apakah pula alasan
kita untuk tidak menyayangi dan mengasihi mereka dengan sesungguh
hati? Dengan kasih sayang daripada merekalah yang menjadi keberkatan
dan kemudahan kepada seseorang insan itu dalam menuntut ilmu
pengetahuan. Bahkan, dengan usaha keras mereka jugalah, seseorang
individu itu dapat meneruskan perjuangannya dalam menuntut ilmu.
Tidak kurang juga ada di antara mereka yang sanggup bergolok bergadai
demi memastikan anak-anak mereka mampu menimba ilmu pengetahuan.
Betapa besarnya nilai perlu dibayar dalam sistem pendidikan kini
untuk mendapatkan sesuatu ilmu bermanfaat yang mampu membawa kepada
kebahagian duniawi dan ukhrawi.
Namun, alangkah
malang bagi mereka yang tidak menghormati dan tidak menyayangi ibu
bapa kerana di situ bermulanya satu punca dalam hilangnya keberkatan
dalam mendapatkan restu bagi menuntut ilmu. Dengan sikap seseorang
yang menderhaka kepada ibu dan bapanya, seseorang insan itu telah
melakukan satu dosa besar dan turut mendatangkan kemurkaan daripada
Allah SWT. Antara kesalahan yang sering dilakukan kepada ibu bapa
adalah tidak berbakti kepada mereka dan meninggikan suara terhadap
mereka. Hal ini telah dinyatakan dalam al-Qur’an oleh Allah SWT
dalam surah al-Isra' seperti berikut:
''Dan Tuhanmu
telah memerintahkan supaya kamu jangan menyembah selain Dia dan
hendaklah kamu berbuat baik kepada ibu bapamu dengan sebaik-baiknya.
Jika salah seorang di antara keduanya atau kedua-keduanya sampai
berusia lanjut dalam pemeliharaanmu, maka sekali-kali janganlah kamu
mengatakan kepada keduanya perkataan 'ah', dan janganlah kamu
membentak mereka dan ucapkanlah kepada mereka perkataan yang mulia'' (al-Isra', 17:23).
Oleh sebab itu,
menjaga hubungan dengan ibu dan bapa sangat penting dalam proses
seseorang insan menuntut ilmu kerana di situ adanya keberkatan yang
tidak terzahir melalui pancaindera misalnya seseorang itu dapat
memahami, menghafal, mendalami dan mengamalkan ilmu dengan baik dan
mudah.
Melalui perbincangan
di atas, tidak dapat disangkal lagi bahawa menuntut ilmu adalah suatu
yang amat penting dan sangat dituntut dalam Islam. Dengan menuntut
ilmu kehidupan menjadi lebih baik bahkan dapat menjadi bekalan di
akhirat kelak. Namun, dalam proses menuntut ilmu, perkara-perkara
yang dilarang oleh Allah SWT misalnya menderhakan kepada ibu bapa
perlu dielakkan bagi memastikan seseorang itu tidak terhijab daripada
mendapat ilmu tersebut.
Rujukan
Al-Qur'an
Al-Ghazzaliy (t.t).
Siri Al-Imam Al-Ghazzali (4) Ilmu-ilmu Dalam Islam terj.
Yusoff Zaky Yaacob. Kelantan: Syarikat Dian Sdn Bhd.
No comments:
Post a Comment